KETUA ADAT DIINGAT LAKSANA TANGGUNGJAWAB DENGAN PENUH INTEGRITI
- Wartawan Nabalu News
- Nov 25, 2020
- 1 min read

25 NOV 2020
BEAUFORT: Ketua-ketua adat di negeri ini diingatkan supaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh integriti.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Kewangan II, Datuk Isnin Aliasnih berkata, sebagai pemimpin akar umbi, mereka harus memberikan komitmen tinggi terhadap tugas termasuk menyelesaikan sebarang permasalahan sebaiknya.
Beliau berkata, ketua-ketua adat merupakan antara pemimpin yang dihormati justeru mereka perlu mempertahankan imej tersebut dalam menjalankan tanggungjawab mengikut garis panduan serta undang-undang yang termaktub dalam institusi adat.
"Saya berharap semua ketua adat yang menerima watikah pelantikan akan menjalankan tugas masing-masing sebaik mungkin kepada seluruh masyarakat di kawasan masing-masing.
"Tahniah kepada semua yang dilantik pada hari ini. Semoga institusi adat terus dipertahankan dan pada masa sama membantu mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat daerah Beaufort (Klias dan Lumadan) di Pejabat Daerah Beaufort pada Rabu.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam; Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun; Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS), Datuk Saadilah Abdillah serta Pengerusi MHEANS, Norhayati Majid.
Dalam perkembangan berkaitan, Isnin yang juga ADUN Klias turut mengingatkan para pemimpin masyarakat termasuk ketua-ketua adat supaya membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Comentários