Khazanah wujud platform pelaburan hijau baharu sejajar dengan strategi ‘Memajukan Malaysia’ – PM
- Wartawan Nabalu News
- Jun 26, 2023
- 1 min read

26 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Sebuah platform pelaburan hijau yang baharu akan diwujudkan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung dari dalam atau luar negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata platform ini bertujuan untuk membantu syarikat tempatan terutama syarikat Bumiputera untuk mencipta lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat.
“Selaras dengan prinsip MADANI, saya menggesa Khazanah agar terus berada di landasan yang betul dan kekal dengan mandat sedia ada untuk menyampaikan manfaat ekonomi dan sosial yang mampan demi rakyat dan masa depan yang lebih baik untuk negara,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perkara ini antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ketiga bagi 2023 beberapa hari lepas.
Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan peranan Khazanah dalam usaha pembangunan negara dan pentingnya melaksanakan peralihan tenaga yang mampan bagi menjamin kelestarian ekonomi.
“Kerajaan komited untuk terus memacu ekonomi Malaysia ke hadapan di dalam suasana ketidaktentuan pasaran dan geopolitik global.
“Dalam hal ini, usaha menggembleng yang lebih kukuh di antara sektor swasta dan juga Kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan mesti terus dipertingkatkan.
“Khazanah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan menerusi strategi “Memajukan Malaysia” (Advancing Malaysia) untuk memastikan hala tuju Khazanah sejajar dengan matlamat pembangunan ekonomi negara," katanya.
Tambah Anwar, melalui penglibatan Khazanah, inisiatif ini dapat membangunkan bakat pekerja tempatan serta meningkatkan keupayaan dan daya saing negara.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan melaksanakan prinsip MADANI dalam semua dasar dan tindakan, termasuk dalam pengurusan Khazanah.
Comments