KITA PERLUKAN SOP YANG BETUL DAN BUKANNYA SETAKAT PENDIRIAN KERAJAAN NEGERIKITA PERLUKAN SOP YANG BETUL DAN BUKANNYA SETAKAT PENDIRIAN KERAJAAN NEGERI
top of page
  • nabalunews

KITA PERLUKAN SOP YANG BETUL DAN BUKANNYA SETAKAT PENDIRIAN KERAJAAN NEGERI



10 Julai 2021


Isu kebenaran untuk “dine-in” di Sabah terus menimbulkan kekeliruan dan kegusaran orang ramai dengan pengeluaran SOP yang terbaru.


Kerajaan negeri Sabah dalam satu kenyataan akhbar yang di keluarkan menyatakan bahawa "Ini adalah PENDIRIAN kita” dalam mempertahankan keputusan membenarkan “dine-in” di Sabah. Pendekatan dalam memilih perkataan PENDIRIAN oleh Pemerintah Negeri, adalah sangat menarik.


Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Kesihatan Awam dan Pencegahan Penyakit berada dalam senarai bersama, yang bermaksud Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bersama dalam perkara ini. Walau bagaimanapun, Sabah tidak mempunyai undang-undang atau enakmennya sendiri berkaitan dengan perkara ini.


‘Standard Operating Procedure’ atau SOP yang telah dikeluarkan selama ini mempunyai punca kuasa dari AKTA 342, iaitu AKTA PENCEGAHAN DAN PENGAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT 1988, yang juga merupakan undang-undang Persekutuan. Undang-undang ini adalah kuasa yang digunakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diseluruh negara selama ini. Oleh yang demikian setiap negeri adalah terikat dengan apa yang diputuskan dan dinyatakan di dalam SOP tersebut kecuali jika ia dinyatakan sebaliknya. (Dengan sebaliknya, ini bermaksud bahawa SOP persekutuan secara khusus mengenali SOP di peringkat negeri dan telah diwartakan.)


Pihak Kerajaan Tempatan di Sabah yang telah membuat pengumuman membenarkan dine-in” setelah merujuk kepada pengumuman Ketua Menteri Sabah sebelum ini. Sekaligus bermaksud, memberitahu orang ramai untuk mengendahkan SOP terbaru yang telah diwartakan.


Terdapat pandangan umum bahawa pihak kerajaan tempatan negeri sabah dalam membuat pengumuman dalam membenarkan ‘dine-in” mempunyai kuasa dalam memberikan kebenaran ini melalui Ordinan Kerajaan Tempatan. Namun hakikatnya, tidak pernah pun dinyatakan darimana terdapatnya punca kuasa daripada Ordinan tersebut bahkan Ordinan tersebut tidak pun dirujuk sama sekali.


Orang ramai bertambah keliru apabila dalam mengekalkan PENDIRIAN kerajaan negeri dan pihak-pihak Kerajaan Tempatan untuk membenarkan “dine-in” dengan mengendahkan SOP yang sedia ada, adakah keputusan ini disokong dan mempunyai kuasa dari segi undang-undang?


Hakikatnya adalah sebaliknya.

Berdasarkan PENDIRIAN kerajaan negeri ini, nampaknya ahli-ahli wakil rakyat yang berada di dalam kerajaan negeri yang juga merupakan pengubal undang-undang secara terbuka telah mendorong rakyat untuk mengendahkan SOP yang sedia ada dan secara langsung untuk tidak mematuhi atau melanggar undang-undang secara terbuka. Walaupun agensi penguatkuasaan yang berkenaan dikatakan tidak akan mengeluarkan saman, jaminan ini masih tidak memberikan keyakinan kepada rakyat. Kerajaan Negeri perlu memahami bahawa keraguan dan kemarahan rakyat terutamanya dari kalangan pemilik perniagaan kecil seperti restoran dan kedai runcit, berlaku kerana ketiadaan kewibawaan kepiminan yang konsisten dan effektif.


Walaupun dengan segala kelemahan yang dinyatakan ini, kita sebenarnya mahu negeri kita diberikan autonomi untuk menentukan SOP yang paling sesuai untuk kita. Kita mahu de-sentralisasi kuasa diturunkan agar pentadbir-pentadbir di negeri Sabah dapat membuat keputusan dan melaksanakan apa yang terbaik untuk Sabah. Tetapi, dalam masa yang sama kita mesti memastikan bahawa segala perlaksanaan tuntutan ini mesti dilakukan dengan betul. Proses undang-undang yang perlu dan sepatutnya dibuat harus dipatuhi dan dihormati. Kita harus memahami bahawa ketiadaan kepatuhan terhadap undang-undang dan ketertiban yang betul, kekacauan akan terjadi. Kemungkinan terjadinya perkara tersebut adalah nyata, terutama sekali terhadap rakyat yang berusaha untuk mencari pencarian harian untuk terus hidup dalam keadaan ekonomi yang teruk. Rakyat Sabah kini amat keliru atas pendirian yang tidak konsisten diantara Kerajaan Negeri dan SOP dari Kerajaan Persekutuan.


Kekeliruan yang timbul ini juga telah menyebabkan dua mantan Ketua Menteri (yang juga kini berada dalam kerajaan negeri) mengeluarkan kenyataan menyokong Ketua Menteri Sabah mengenai perkara ini. Walaupun dengan keyakinan dan pandangan yang diberikan oleh tiga "Ketua Menteri", Kerajaan Negeri Sabah masih diabaikan oleh rakan Persekutuan mereka.


Perlu ditekankan bahawa Kerajaan Negeri Sabah juga adalah sebahagian daripada kerajaan yang sama dengan Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN). Kerajaan Negeri Sabah tidak boleh bertindak seolah-olah menjadi mangsa kerana terus diabaikan oleh Kerajaan Persekutuan. Perlu diingatkan bahawa Kerajaan Negeri sebelum ini ketika meminta sokongan rakyat telah memberikan rasional dan justifikasi kelebihan dalam bersama-sama berada dalam kerajaan PN akan melancarkan segala tuntutan terhadap hak-hak Sabah dan sekaligus memastikan pandangan dan kemahuan Sabah didengar. Namun pada masa ini, walaupun kerajaan negeri adalah sebahagian daripada kerajaan PN, kenapakah kerajaan negeri ini tidak dapat meyakinkan rakan mereka di kerajaan pusat untuk melayan Sabah sebagai rakan setaraf dan menerima serta menghormati PENDIRIAN daripada kerajaan negeri ini?


Kami tidak mahu Kerajaan Negeri hanya setakat membuat “PENDIRIAN”, tetapi apa yang dikehendaki adalah satu tindakan yang konkrit dan konsisten daripada pihak kerajaan untuk kebaikan rakyat Sabah.



Nelson W Angang

Setiausaha Agung

UPKO

bottom of page