top of page

KKM haramkan dua produk kosmetik beracun

  • nabalunews
  • 1 minute ago
  • 2 min read

ree

8 November 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi dua produk kosmetik selepas dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.


KKM menerusi kenyataan pada Sabtu memaklumkan, produk terbabit ialah JJF Cream Herba yang mengandungi merkuri dan betamethasone17-valerate, serta JF Cream Treatment yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin.


“Susulan itu, notifikasi kosmetik ini telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.


“Penjual dan pengedar kosmetik terbabit perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk dengan serta-merta,” menurut kenyataan itu.


Dalam masa sama, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.


Jelas KKM, merkuri dilarang dalam kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.


Selain itu, ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.


Tambah kementerian itu, kosmetik yang mengandungi betamethasone 17-valerat, hidrokuinon dan tretinoin dikelaskan sebagai ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah serta hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.


“Betamethasone 17-valerate menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.


“Hidrokuinon pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.


“Sementara itu, tretinoin menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” jelas KKM.


KKM menegaskan bahawa penjualan dan pengedaran kosmetik terbabit adalah satu pelanggaran mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.


Pesalah boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan berikutnya.


Syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kali pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page