KKM larang penjualan ASGG Gluta Genc Glow Gummies
- nabalunews
- Nov 17
- 1 min read

16 November 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan dan pengiklanan produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies selepas ia didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.
KKM dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan produk itu dikesan mengandungi bahan aktif Glutathione, yang tidak tersenarai di bawah Daftar 1, Jadual Ke-12, Peraturan 26, Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 sebagai nutrien yang dibenarkan untuk ditambah dalam makanan.
“Bahan tersebut tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam makanan. Mana-mana produk yang mengandungi Glutathione perlu berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Sehubungan itu, produk ini tidak boleh dijual atau diiklankan dan semua peniaga termasuk peniaga dalam talian diarahkan menghentikan penjualan serta-merta serta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan penyitaan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu juga menggesa semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial untuk menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
Menurut KKM, produk itu turut dikesan dijual di Shopee, Lazada dan TikTok dengan 121 permohonan sekatan iklan telah dikemukakan kepada penyedia platform e-dagang terbabit bagi menghentikan promosinya.
“Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan untuk mengadukan makanan dengan bahan yang tidak dibenarkan oleh akta atau mana-mana peraturan di bawahnya.
“Jika disabitkan kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa sama, KKM meminta orang ramai yang sedang menggunakan produk itu untuk menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan.
Pengguna juga diingatkan supaya berhati-hati dan memastikan produk makanan yang dibeli tidak dicampur bahan yang tidak dibenarkan.


















Comments