KKM percepat pelantikan tetap 4,352 pegawai perubatan
- nabalunews
- Aug 7, 2025
- 1 min read

7 Ogos 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan proses pengisian jawatan tetap 4,352 Pegawai Perubatan Gred UD10 bagi tahun 2025.
Dalam kenyataan pada Khamis, KKM berkata, langkah itu sebagai menyahut gesaan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, 23 Julai lalu.
Katanya, selaras dengan pengumuman itu KKM telah segera mengadakan sesi libat urus bersama beberapa agensi pusat, termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ia bagi memastikan 4,352 orang Pegawai Perubatan Gred UD10 dapat dilantik tetap secara berfasa.
"Pelantikan tetap ini perlu dilaksanakan secara berfasa kerana ia melibatkan pegawai perubatan daripada beberapa kohort lantikan kontrak di samping menjaga kebajikan pegawai dari aspek susunan kekananan," menurut kenyataan itu.
Susulan sesi libat urus tersebut, katanya pihak SPA telah mula mengeluarkan surat tawaran kepada calon dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 18 Ogos 2025.
Menurutnya, pegawai terbabit ditetapkan untuk melapor diri ke fasiliti kesihatan KKM seluruh negara seawal 2 Oktober 2025.
Dalam pada itu, KKM turut merakamkan penghargaan kepada JPA, SPA serta MoF atas kerjasama erat yang diberikan dalam memastikan kelancaran proses pelantikan tetap itu.
"KKM kekal komited untuk memastikan keseluruhan proses pelantikan ini berjalan lancar.
“Ini selaras dengan langkah strategik KKM dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara dengan memastikan pengisian jawatan kritikal dilaksanakan secara terancang, seimbang dan berteraskan keperluan perkhidmatan semasa," katanya.















Comments