Klinik Kejurulatihan Sofbol Sabah 2025: Lonjakan Baharu Sukan Sofbol Sekolah
- nabalunews
- Aug 2, 2025
- 2 min read

2 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Program Klinik Kejurulatihan Sofbol Peringkat Negeri Sabah 2025 anjuran bersama Falcons Softball Club, LiVoc Eagles Softball Club dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) melabuhkan tirainya hari ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos itu diadakan di SRK Lok Yuk, Likas, di sini, dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Difahamkan, seramai 50 peserta yang terdiri daripada pendidik dan penggiat sukan sofbol peringkat rendah, menengah dan institusi pendidikan dari seluruh negeri menyertai program berkenaan.

Presiden Falcons Softball Club merangkap Pengerusi Penganjur, Jeslezra Taba berkata, klinik kejurulatihan itu bertujuan memperkasakan ilmu kejurulatihan serta memperluaskan jaringan pembangunan sukan sofbol di kalangan warga pendidik.
Katanya, beliau merakamkan penghargaan khususnya kepada Penolong Pegawai Unit Sukan JPNS, Mohd Lotfi Ibrahim, atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
“Terima kasih juga kepada Guru Besar SRK Lok Yuk, Foo Nee Khen atas kesudian pihak sekolah menjadi tuan rumah.

“Apa yang menarik perhatian, tenaga pengajar klinik kali ini diterbangkan khas dari Pulau Pinang iaitu bekas ketua jurulatih pasukan Sofbol Kebangsaan Malaysia, Ong Lian Bee,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, Ong juga merupakan Pengarah Urusan Vipers Trading juga penaja rasmi peralatan kejohanan utama Sofbol Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
“Sebagai galakan dan inisiatif pengembangan sukan, sebanyak lapan sekolah penyertaan baharu menghantar wakil ke klinik ini, termasuk SK Kebawang dan SK (K9) Long Pasia, Sipitang; SK Palak, Banggi; SMK Banggi; SK Tebobon, Kota Kinabalu; MRSM Semporna dan SK Bawang, Tuaran serta SMK Gum-Gum, Sandakan,” katanya.

Sementara itu, Presiden LiVoc Eagles Softball Club, Idham Shukri Ishak dalam ucapannya menekankan peranan penting persatuan dan kelab dalam memajukan sukan sofbol, terutamanya di peringkat akar umbi.
Beliau turut menyampaikan sumbangan bola dan pemukul sofbol kepada wakil-wakil sekolah baharu sebagai sokongan awal kepada pembangunan sukan tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Lotfi turut menyatakan sokongan padu pihak JPNS terhadap usaha-usaha memperkukuhkan keupayaan jurulatih dan penggiat sukan sekolah melalui penganjuran program kejurulatihan seperti ini.
Katanya, beliau berharap program sebegini dapat diteruskan secara berterusan dan menjadi landasan membina asas yang kukuh bagi kecemerlangan sukan sofbol di Sabah.
“Penganjuran klinik ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem sukan sofbol negeri, serta membuka ruang pembangunan bakat dan penglibatan aktif komuniti pendidikan dalam arena sukan,” katanya.















Comments