Kluster Covid-19 dikesan libatkan pelajar asrama SMK Sandakan
top of page
  • nabalunews

Kluster Covid-19 dikesan libatkan pelajar asrama SMK Sandakan


19 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Satu kluster Covid-19 baharu melibatkan pelajar-pelajar sekolah berasrama di Sandakan telah direkodkan hari ini.


Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata kluster yang dinamakan Kluster Jalan Pertukangan itu telah mengakibatkan jumlah kes positif harian negeri itu telah meningkat kepada 242 kes.


Ujarnya, peningkatan tersebut merupakan peningkatan 41 kes berbanding kes harian semalam.


“Kes indeks adalah seorang pelajar asrama SMK Sandakan, berumur 16 tahun. Beliau mula bergejala pada 16 Januari 2022.


“Seterusnya pelajar tersebut menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan disahkan positif pada hari yang sama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Tambah beliau, saringan terhadap 117 pelajar mendapati 72 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73 kes.


“Semua kes positif adalah dalam kategori ringan iaitu Kategori 1 dan 2 dan telah dikuarantin serta diberikan rawatan yang sesuai,” katanya.


Sementara itu, sebanyak 238 daripada jumlah kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, dan tiada kes dilaporkan dalam Kategori 4 dan satu pesakit dalam Kategori 5.


Bagaimanapun, dua kes kematian juga dilaporkan pada hari ini iaitu satu kes di daerah Tuaran dan satu lagi di Kota Marudu.


“Bilangan pesakit yang sembuh ialah 230 termasuk yang discaj dari hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 237,074 orang.


“Manakala 724 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 405 orang di hospital, 312 orang di (PKRC) dan tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS).


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal pada masa kini ialah 28 orang merangkumi 26 di ICU serta dua di kubikel akut dan tujuh orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” kata Masidi.


Manakala bilangan pesakit stage empat (4) dan lima (5) yang masih belum lengkap vaksin ialah 22.

bottom of page