Konflik Asia Barat: Kedaulatan, integriti semua negara mesti dihormati - JKPK Parlimen
- nabalunews
- Mar 2
- 2 min read

2 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam dan menyatakan kebimbangan serius berhubung serangan ketenteraan terkini oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Republik Islam Iran serta serangan balas susulan di beberapa bahagian Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen, Wong Chen, menegaskan semula pendirian Malaysia yang telah lama dipegang mengenai kedaulatan dan integriti wilayah semua negara mesti dihormati.
Menurutnya, ia termasuk penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa tertakluk secara tegas kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta prinsip undang-undang antarabangsa yang ditetapkan.
“Perkara 2(4) Piagam PBB secara khusus dengan jelas melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kebebasan politik mana-mana negara dan larangan itu merupakan tonggak asas tata tertib undang-undang antarabangsa pasca-1945.
“Sehubungan itu, sebarang tindakan ketenteraan mesti termasuk dalam pengecualian terhad yang diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa, iaitu hak pertahanan diri susulan suatu serangan bersenjata sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 51 Piagam tersebut, atau apabila dibenarkan oleh Majlis Keselamatan PBB.
"Dalam hal ini, kami khususnya mengambil maklum bahawa serangan terhadap Iran, yang mencetuskan konflik semasa ini, merupakan satu pelanggaran yang jelas terhadap larangan penggunaan kekerasan di bawah Piagam PBB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wong Chen berkata, menyokong atau menormalkan penggunaan kekerasan di luar parameter perundangan yang telah ditetapkan berisiko menjejaskan sistem antarabangsa berasaskan peraturan yang menjadi sandaran kepada keamanan dan keselamatan global.
Katanya, keadaan yang semakin tegang hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan dan meletakkan nyawa orang awam pada risiko yang lebih besar.
Sehubungan itu, katanya semua pihak mesti mengamalkan tahap pengekangan maksimum dan menahan diri daripada tindakan yang boleh meluaskan konflik.
"Keselamatan yang berkekalan tidak dapat dicapai melalui langkah ketenteraan unilateral, sebaliknya memerlukan dialog berterusan, penglibatan diplomatik serta penghormatan penuh terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan penyelesaian pertikaian secara aman.
"Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini berdiri bersama pendirian Kerajaan sebagaimana yang dinyatakan oleh Kementerian Luar Negeri yang menegakkan prinsip berkecuali dan pengekangan dalam menangani konflik berkenaan," katanya.















Comments