- Wartawan Nabalu News
Konflik BAM, Zii Jia berakhir, dapat restu BAM untuk jadi pemain profesional

25 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Konflik antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mengenai isu peletakan jawatannya dari persatuan itu kini menemui jalan penyelesaian selepas pertemuan tertutup bersama dengan Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria.
Berdasarkan posting Facebook dalam akaun rasminya hari ini, beliau menjelaskan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Norza dengan ditemani kedua ibu bapanya hari ini dan isu peletakan jawatannya itu telahpun diselesaikan secara damai.
Menurutnya lagi, Tan Sri Norza Zakaria juga telah memberi restu kepada Lee Zii Jia untuk terus mewakili negara sebagai pemain professional dan penggantungan selama 2 tahun kini digugurkan.
“Saya berasa lega dan gembira kerana dapat menyelesaikan isu dengan BAM selepas mendapat restu dari Tan Sri (Norza) untuk menjadi pemain professional.
“Kejayaan saya sebelum ini dan pada masa akan datang tetap adalah produk Tan Sri, BAM dan Malaysia. Saya sentiasa bersyukur atas bimbingan, asuhan dan peluang yang diberikan oleh Tan Sri untuk berkhidmat kepada negara yang saya cintai.
“Buat masa ini, saya akan memberi komitment kepada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia,” katanya.
Pemain ranking ketujuh dunia itu turut menggesa agar peminat badminton tanah air terus menyokong BAM dan juga pemain professional yang juga diasuh oleh BAM.
“Teruskan menyokong BAM dan juga pemain profesional negara yang juga pernah diasul oleh BAM kerana akhirnya kita semua adalah satu,” jelasnya.
Minggu lalu, BAM mengumumkan Zii Jia tidak akan didaftarkan dalam mana-mana pertandingan antrabangsa selama dua tahun selepas dia mengambil keputusan untuk menarik diri dari persatuan itu.