top of page

Kos insurans, pengangkutan dorong kenaikan harga minyak

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

9 April 2026


PUTRAJAYA: Kenaikan harga minyak di Malaysia bukan disebabkan kekurangan bekalan bahan api semata-mata, sebaliknya didorong lonjakan pelbagai kos.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun laluan utama bekalan bahan api itu masih berfungsi dan penghantaran minyak ke Malaysia tidak terhenti, kos sebenar meningkat ketara akibat faktor insurans dan pengangkutan.


“Laluan bekalan utama seperti Selat Hormuz dan Terusan Suez masih berfungsi, malah hubungan baik dengan Iran membolehkan kapal Petronas melepasi laluan dengan selamat dan akan tiba ke Pengerang (Johor) dalam beberapa hari lagi.


“Kos sebenar meningkat kerana minyak yang dibeli sebelum perang kini tersangkut dan terpaksa dialihkan ke Pengerang, sekali gus meningkatkan kos insurans dan caj pengangkutan melebihi 100 peratus,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.


Dalam pada itu, Anwar menegur penyebaran maklumat tidak tepat berkaitan isu kenaikan harga minyak yang boleh mengelirukan rakyat selain tidak membantu kerajaan menangani isu tersebut.


Menurutnya, terdapat segelintir pihak yang pantas membuat kesimpulan tanpa merujuk fakta sahih, malah cuba menjadikan pandangan tersebut sebagai kebenaran mutlak.


“Beberapa komen daripada ahli politik ini agak tergesa-gesa berkenaan perkara ini dan ia adalah ‘half truth’ dan bertukar kepada ‘absolute truth’.


“Maksudnya, fahaman yang hanya sebahagiannya benar itu kemudian dipersembahkan seolah-olah ia adalah sesuatu yang pasti,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa penjawat awam dan semua pihak supaya memainkan peranan dalam menjelaskan fakta sebenar kepada masyarakat, selain mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page