top of page

Kos rawatan pesakit talasemia cecah hampir RM3 juta seorang

  • nabalunews
  • 41 minutes ago
  • 2 min read

23 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Anggaran kos rawatan sepanjang hayat bagi setiap pesakit talasemia yang bergantung kepada transfusi bermula dari usia kanak-kanak sehingga 40 tahun mencecah hampir RM3 juta bagi setiap pesakit.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu merangkumi kos penjagaan kesihatan iaitu 92.5 peratus dan biaya perbelanjaan penjagaan kesihatan ditanggung pesakit dan keluarga pula sebanyak 7.5 peratus.


“Terapi iron chelation merupakan penyumbang terbesar kos rawatan iaitu 56.9 peratus, diikuti kos transfusi darah sebanyak 13.1 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.


Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai jumlah pesakit talasemia dan kos rawatan dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun, serta sama ada kerajaan akan membangunkan kaedah rawatan terapi gen di Malaysia.


Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata terapi gen adalah kaedah rawatan inovatif dengan sel stem pesakit diambil dan diubah suai secara genetik di makmal, sebelum dimasukkan semula ke tubuh pesakit.


Di peringkat antarabangsa, katanya, dua kaedah utama sedang diguna pakai ialah Penambahan Gen menggunakan lentivirus serta Pengeditan Gen yang memanfaatkan teknologi mutakhir CRISPR-Cas9.


“Namun, kos bagi satu rawatan adalah amat tinggi, di mana di pasaran global ia mencecah kira-kira RM10 juta hingga RM13 juta bagi setiap pesakit,”


"Walaupun terapi ini berpotensi menjadi rawatan kuratif, ketersediaannya secara meluas masih terhad dan pelaksanaannya mencabar kerana memerlukan kemudahan khusus terapi gen, kepakaran multidisiplin, infrastruktur makmal berstandard tinggi, sistem rujukan mantap serta mekanisme pembiayaan kesihatan mampan," jelasnya.


Tambah beliau, di Malaysia, rawatan yang berpotensi menyembuhkan pesakit talasemia ialah pemindahan sel stem hematopoietik (HSCT) yang ditawarkan di dua fasiliti kerajaan termasuk Hospital Tunku Azizah dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.


Menurutnya, sejak 2007, seramai 212 pesakit talasemia telah sembuh melalui prosedur HSCT, dengan kos rawatan antara RM100,000 hingga RM120,000 bagi setiap pesakit.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page