KPDN batal fleet card syarikat salah guna, seleweng diesel bersubsidi
- nabalunews
- Aug 21, 2024
- 2 min read

20 Ogos 2024
IPOH : Syarikat yang menyalahgunakan 'fleet card' untuk menyeleweng diesel bersubsidi akan berdepan tindakan pembatalan kemudahan itu.
Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa Bahagian Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya mengesan kegiatan sindiket menggunakan kemudahan fleet card untuk membeli diesel pada harga RM2.15 seliter sebelum memindahkan bahan api diseleweng itu ke tangki lain.
Beliau berkata, setakat ini KPDN mengesan beberapa kes penyalahgunaan kemudahan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di Pulau Pinang dan Selangor, lapor Berita Harian.
"Kita akan ambil tindakan mengikut Akta Kawalan 1961 dan sekiranya terbukti (seleweng diesel) dengan fleet card itu mereka, KPDN boleh batalkan... RM2.15 dengan harga industri ada jurang yang sangat besar.
"Ia menyebabkan berlakunya ketirisan atau penyelewengan terhadap bahan api bersubsidi.
"Ketika ini kerajaan sedang mengumpulkan maklumat jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawalan Bekalan Kepada Pengusaha Stesen Minyak Perak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh, di sini, hari ini.
Pada program itu, seramai 400 wakil pengusaha stesen minyak menerima surat arahan pegawai bekalan berhubung larangan penjualan minyak diesel dan RON95 secara berulang.
Media sebelum ini melaporkan KPDN Pulau Pinang menahan sebuah lori yang disyaki menyalahgunakan kad fleet untuk menyeleweng diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Simpang Ampat.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan dipetik berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat kad fleet yang mempunyai resit pembelian disyaki diguna pakai dengan salah.
Dalam perkembangan sama, Shamsul Nizam berkata, sebanyak 1,946 kes membabitkan nilai rampasan RM75.44 juta direkodkan oleh KPDN sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 3.0 di seluruh negara antara Januari sehingga 18 Ogos tahun ini dengan 478 tangkapan.
"KPDN sudah menempatkan pegawai penguat kuasa di lapan lokasi pintu masuk sempadan negara iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
"Berdasarkan statistik penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara bermula 20 Januari hingga 18 Ogos ini, sebanyak 42,487 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Comments