KPDN pastikan bekalan dan harga ayam dan telur mencukupi
- Wartawan Nabalu News
- Apr 1, 2023
- 1 min read

1 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertekad untuk membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup dan harga barang tidak wajar menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Salah satu langkah yang diambil adalah menetapkan harga maksimum untuk ayam dan telur sepanjang bulan puasa dan hari raya.
Menurut kenyataan KPDN, kementerian telah menjalankan 183,047 pemeriksaan dan mendapati 2,711 kes pelanggaran harga kawalan, penandaan harga dan lain-lain. Jumlah kompaun yang dikenakan ialah RM 482,400.
KPDN juga telah mengadakan perbincangan dengan kementerian-kementerian lain dan pengeluar ayam dan telur yang diwakili oleh Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM) untuk menyelesaikan isu bekalan dan harga secara holistik.
“FLFAM telah memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri. Mereka juga berkomitmen untuk bekerjasama dengan KPDN untuk mengatasi sebarang gangguan bekalan dengan menyalurkan ayam dan telur ke kawasan yang terjejas,” kata KPDN.
KPDN juga menyeru pengguna untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan terhadap harga maksimum atau kekurangan bekalan melalui saluran-saluran yang disediakan oleh kementerian.
Comments