KPDNHEP SABAH KELUAR 16 KOMPAUN DALAM OPS PANTAUKPDNHEP SABAH KELUAR 16 KOMPAUN DALAM OPS PANTAU
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPDNHEP SABAH KELUAR 16 KOMPAUN DALAM OPS PANTAU



20 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah mengeluarkan 16 kompaun serta-merta dalam Ops Pantau.


Pengarah Pejabat KPDNHEP Negeri Sabah Georgie Abas berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang dijual, kesalahan timbang dan sukat dan harga yang mengelirukan.



“Sejak Ops Pantau bermula pada 14 April lalu sehingga 18 April, KPDNHEP Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,167 premis perniagaan di seluruh Sabah.


“Sebanyak 20 tindakan kes dengan nilai rampasan berjumlah RM6,665 telah dihasilkan dan daripada 20 kes tersebut, 16 kes telah serta-merta dengan jumlah hasil kutipan kompaun sebanyak RM1,700 manakala empat kes lagi masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini.


Georgie berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 iaitu sebanyak 14 kes berkaitan kegagalan peniaga mempamerkan penandaan harga ke atas barangan yang dijual, tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu peniaga tidak menyelenggarakan Buku Penyata Stok barangan kawalan yang dijual.


“Dua kes di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 iaitu menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan dan satu kes di bawah Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 iaitu harga yang mengelirukan,” katanya.



Beliau berkata, sepanjang tempoh Ops Pantau mula dikuatkuasakan, KPDNHEP Sabah juga telah mengeluarkan sebanyak 29 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.


“Sebanyak 15 NPMB dikeluarkan melibatkan air kosong, sembilan NPMB melibatkan bahan binaan dan lima NPMB berkaitan harga ayam.


“Notis ini dikeluarkan bertujuan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos barangan yang terlibat,” katanya.


Katanya lagi, KPDNHEP Sabah juga telah menerima sebanyak 41 aduan sejak Ops Pantau berkuat kuasa, antaranya aduan berkaitan transaksi di atas talian (20 aduan), lapan aduan berkenaan harga, empat aduan berhubung perkhidmatan yang mengelirukan dan satu aduan berkaitan barang kawalan.



Georgie berkata, KPDNHEP Sabah akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan serta pemeriksaan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidil Fitri Tahun ini menerusi Ops Pantau.


"Ini bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi di samping membantu peniaga menjalankan perdagangan yang kompetitif dengan mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDNHEP.


"Kementerian ini juga mengalu-alukan kerjasama para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku perniagaan atau aduan melalui sembilan saluran aduan yang disediakan," katanya.

bottom of page