top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPKM sasar kurangkan import bawang, kaji perluas projek tanaman ke Sabah, Sarawak


4 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAPAH: Dalam usaha untuk menampung permintaan bawang di peringkat domestik, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan Projek Pembangunan Tanaman Bawang ke Sabah dan Sarawak.


Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata projek ini memerlukan kajian secara menyeluruh termasuk penilaian kesesuaian tanah di kawasan-kawasan yang dicadangkan.


"Buat permulaan ini kita laksanakan projek rintis terlebih dahulu dan ia telah dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Perak, Perlis dan yang terbaru di Jabatan Pertanian Serdang."


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Ladang Penanaman Bawang di G7, Kampung Baru Kuala Bikam, Bidor di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.


Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya kajian menunjukkan kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak sesuai untuk tanaman bawang, maka tiada sebab untuk tidak membuka ruang dengan lebih luas bagi menjayakan projek ini.


Sementara itu, Arthur juga berharap kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak kementerian khususnya dalam penyediaan tanah bagi memastikan sasaran projek dapat dicapai.


Pada 28 Feb lepas, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerajaan menyasarkan 14,470 tan bawang dihasilkan menjelang 2026 menerusi program itu yang melibatkan kawasan seluas 1,374 hektar di seluruh negara.


Beliau juga berkata inisiatif itu bertujuan mencapai sasaran pengurangan 30 peratus pengimportan bawang menjelang 2030.



Comments


bottom of page