KPKM sokong industri ternakan kerbau di Lawas
1 Ogos 2024
KUCHING: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kementeriannya akan memberi jaminan untuk menyokong industri ternakan kerbau di Meragang Lawas dan bersedia membantu usaha pembesaran stesen penternakan tersebut.
Jelas beliau, KPKM akan mengadakan lawatan kerja bersempena program Road to MAHA, ke stesen penternakan itu bermula 8 hingga 11 Ogos ini.
Beliau berkata, sokongan tambahan akan diberikan kepada stesen penternakan kerbau tenusu itu agar pembiakan kerbau dapat diperbesarkan serta pengeluaran hasil susu ditingkatkan.
Pada masa ini, stesen penternakan tersebut mempunyai lebih 300 ekor kerbau dan dapat mengeluarkan 15 liter susu bagi setiap kerbau.
Datuk Seri Mohamad Sabu ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Kuching.
Kunjungan bertujuan menjemput Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menghadiri perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia MAHA yang akan bermula pada 11 hingga 22 September.
Sementara itu, ditanya mengenai industri durian, beliau menjelaskan usaha gigih sedang dilaksanakan untuk mengeksport durian segar secara global.
Tambahnya permintaan tinggi diterima terutama dari China dan usaha sedang dijalankan bagi memastikan durian segar dapat sampai ke destinasi dengan cepat.
Comments