KPM komited jamin keselamatan atlet sekolah dengan Kod Sukan Selamat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPM komited jamin keselamatan atlet sekolah dengan Kod Sukan Selamat


20 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Keselamatan atlet sekolah menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menggalakkan penggunaan Kod Sukan Selamat dalam kalangan jurulatih dan pelajar yang terlibat dalam aktiviti sukan.


Timbalan Menteri KPM, Lim Hui Ying, berkata kod itu bertujuan mewujudkan ekosistem selamat untuk anak-anak bersukan dan dilindungi daripada gangguan seksual, buli dan pengantunan.


"Kod Sukan Selamat turut digunakan dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tahun ini dan kita bekerjasama erat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


“Ini kerana kita mahu anak-anak selamat dan sihat, bukan sahaja di sekolah, tapi sukan juga. Ibu bapa mereka hantar ke sini kerana bakat mereka jadi kita bertanggungjawab pastikan keselamatan mereka diutamakan," katanya selepas merasmikan penutupan Kejohanan Olahraga MSSM kali ke-63, lapor Bernama.


Kod Sukan Selamat diperkenalkan oleh KBS adalah panduan dan rujukan kepada semua komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab dalam pelaksanaan aktiviti sukan khususnya melibatkan atlet kanak-kanak.


Lim juga menekankan bahawa sukan berfungsi sebagai ejen perpaduan kerana ia membabitkan semua kaum sekali gus memupuk kebersamaan dalam kalangan pelajar.


Katanya, KPM juga bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan untuk memberi peluang kepada atlet murid KPM terus menyinar di arena sukan bermula dari peringkat sekolah ke antarabangsa.


"Terkini, KPM dengan kerjasama KBS dan Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) akan memberi fokus serta keutamaan terhadap tiga sukan utama iaitu olahraga, renang dan sukan tempur," katanya.


Dalam kejohanan berkenaan, MSSM Johor dinobatkan juara keseluruhan dengan atletnya Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau dianugerahkan Olahragawan manakala Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira dari MSSM Terengganu sebagai Olahragawati.


Kejohanan lima hari itu seramai 1,300 peserta dari seluruh negara.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page