top of page

KPM laksana langkah tambahan perkukuh keselamatan sekolah, tangani isu disiplin

  • nabalunews
  • 8 minutes ago
  • 2 min read

ree

22 Oktober 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan beberapa langkah tambahan bagi meningkatkan aspek keselamatan di institusi pendidikan kelolaannya serta menangani isu disiplin murid di seluruh negara.


KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara inisiatif utama termasuk peruntukan tambahan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang dikenal pasti.


Peruntukan itu juga adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di sekolah sebelum ini.


“Selain itu, seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada bulan November 2025 bagi membantu memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid.


“Manakala 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama sekaligus mengurangkan beban tugas Warden Asrama,” menurut kenyataan itu.


Pada masa sama, Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah akan diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah. PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.


KPM memaklumkan, Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah akan turut diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah untuk melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan.


"Dalam masa sama, fungsi 'Smart Support Team' di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terus diperkasakan bertujuan membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis.


“Guru-guru akan diberi latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah,” menurut kenyataan itu lagi.


KPM juga menegaskan peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin sekolah akan terus diperkasakan dalam menangani kes-kes disiplin, termasuk kuasa untuk merotan, menggantung atau membuang sekolah mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada.


Menurut KPM, Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan, sementara peraturan disiplin murid kini sedang digubal semula.


Selain itu, Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan diteliti semula bagi tujuan tambah baik supaya lebih proaktif dalam mengurus kes disiplin dan institusi pendidikan diminta untuk memberi tumpuan khusus kepada tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu disiplin yang berbangkit.


“Dalam masa sama, inisiatif 'kotak suara murid' akan diperluas bagi memastikan suara guru dan pelajar diambil kira, selaras dengan advokasi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenai suara kanak-kanak.


“Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah.


“KPM juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid,” jelas kenyataan itu.


Kementerian menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh keselamatan serta disiplin murid, sekali gus mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat dan sejahtera.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page