top of page

KPM menjunjung titah Raja Permaisuri wujudkan persekitaran selamat di sekolah

  • nabalunews
  • Oct 15
  • 1 min read

ree

15 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk melaksanakan kempen kesedaran yang menyeluruh di semua institusi pendidikan kelolaannya seperti mana yang dititahkan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.


Kementerian itu berkata, ia akan melihat kepada keberkesanan modul Tindak Demi Anak Kita (TinDak) selain akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia bagi melaksanakan kajian pengaruh media sosial kepada murid.


“KPM merafak sembah menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berhubung keperluan untuk mewujudkan persekitaran selamat di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.


“Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menjadi peringatan kepada seluruh warga KPM untuk menangani isu salah laku seksual yang memberi implikasi negatif kepada seluruh masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Menurut kementerian itu, keprihatinan Raja Zarith Sofiah menzahirkan pelbagai pandangan berkenaan isu sosial dan langkah-langkah untuk menanganinya menjadi panduan kepada KPM untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di institusi pendidikan.


Semalam, Raja Permaisuri Agong menitahkan KPM untuk melihat keberkesanan modul kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDak) dalam usaha memperkukuh persekitaran sekolah lebih selamat dengan penglibatan bersama ibu bapa.


Kempen kelolaan Johor Women’s League (Jewel) yang dilancarkan pada Mei 2017 itu memfokuskan kepada perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.


Titah berkenaan dizahirkan susulan kejadian rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini dan Seri Paduka Baginda memandang serius kejadian ini.


Baginda turut menzahirkan perkenan untuk membantu dalam perkara tersebut selain menitahkan Universiti Teknologi Malaysia menjalankan satu kajian mengenai pengaruh media sosial ke atas murid dan pelajar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page