KPN perkenal Kempen Taat Setia Rukun Negara
- nabalunews
- Aug 7, 2025
- 2 min read

7 Ogos 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkenalkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sempena ulang tahun pengisytiharan ke-55 Rukun Negara tahun ini.
KPN dalam kenyataan pada Khamis berkata, kempen tersebut sebagai salah satu daripada usaha meningkatkan penghayatan rakyat Malaysia terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.
“Kempen ini diadakan bertujuan memperkukuh perpaduan nasional menerusi penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara dan menggalakkan rakyat terutamanya generasi muda supaya terus berpegang kepada asas pembentukan negara.

“Selain itu, ia juga bagi mempertingkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan taat setia kepada negara dan Perlembagaan Malaysia,” menurut kementerian itu.
Justeru katanya, semua rakyat Malaysia di dalam negara mahupun luar negara digalakkan untuk mengambil bahagian dalam kempen ini.
Ia dengan memuat naik video dan gambar berkaitan Rukun Negara sepanjang bulan Ogos hingga 16 September ini dengan menggunakan tanda pagar #TaatSetiaRukun Negara #55Tahun Rukun Negara di platform media sosial masing-masing.
“KPN berharap melalui kempen ini, rakyat Malaysia akan lebih menghargai, memahami, dan menghayati prinsip- prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan keharmonian negara seterusnya membentuk masyarakat MADANI yang yang progresif, inklusif dan berintegriti,” jelasnya.
Sementara itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata sepanjang sambutan Hari Kebangsan dan Hari Malaysia tahun ini, pihaknya akan melaksanakan 11 inisiatif untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai platform penyatupaduan rakyat Malaysia.
Jelasnya, antara program yang dilaksanakan ialah Konvensyen Sekretariat Rukun Negara; Sambutan Anak Merdeka 31 Ogos; Program Malaysiaku Merdeka; Jejak Merdeka Gen Z; Pertandingan Pidato Rukun Negara dan Kembara Harmoni Merdeka.
“Rukun Negara ialah asas kepada usaha memperkukuh perpaduan, menjamin kestabilan, serta membina masa depan negara yang lebih mampan.
“Rukun Negara mencerminkan komitmen dan aspirasi nasional untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, adil, saksama, demokratik dan progresif,” katanya dalam kenyataan yang sama.















Comments