KPT perkenal sistem 'single window, single offer' elak pertindihan tawaran
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

25 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan sistem single window, single offer bagi kemasukan ke program asasi, matrikulasi dan tingkatan enam bagi mengelak pertindihan tawaran kepada pelajar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, menerusi sistem itu, pelajar yang memohon hanya akan menerima satu tawaran sahaja berdasarkan keputusan terbaik dan sistem meritokrasi yang ditetapkan.
“Sebelum ini permohonan dibuat menerusi sistem ‘single window’, namun tiada mekanisme ‘single offer’, menyebabkan ada pelajar menerima lebih daripada satu tawaran pengajian.
“Dengan pelaksanaan sistem single window, single offer ini, pelajar yang memohon hanya akan menerima satu tawaran, tiada lagi isu pelajar mendapat dua tawaran berbeza,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai penyelarasan kurikulum dan penilaian antara program matrikulasi dan asasi dengan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Zambry menjelaskan, mekanisme penggredan bagi ketiga-tiga institusi itu kekal seperti sedia ada iaitu sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang dipantau oleh lembaga-lembaga berkaitan.
"Majlis Peperiksaan Malaysia akan terus memastikan penilaian pengredan Tingkatan Enam, manakala program matrikulasi dipantau Lembaga Penasihat Akademik dan demikian juga program asasi," katanya.
Menjawab soalan asal Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung pelan tuntas pemindahan pengurusan pogram matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) kepada KPT, Zambry memaklumkan langkah sewajarnya sedang dirangka bagi tujuan pemindahan itu.
Ujarnya, ia merangkumi urusan berkaitan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.
Tambah beliau, proses pemindahan berkenaan akan diperhalusi satu jawatankuasa pemandu bersama yang ditubuhkan kedua-dua kementerian bagi program Tingkatan Enam dan matrikulasi, dengan sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Kementerian Kewangan.















Comments