top of page

Stok beras negara mampu tampung keperluan 5.45 bulan jika bencana

  • nabalunews
  • Feb 25
  • 2 min read

25 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan stok beras negara mampu menampung keperluan rakyat bagi tempoh 5.45 bulan sekiranya Malaysia dilanda bencana yang mengakibatkan gangguan bekalan makanan.


Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat 3 Februari lalu, stok fizikal beras negara mencecah 1,089,285 tan, merangkumi 200,000 tan stok penimbal beras dan 889,285 tan stok dagangan.


Selain itu, katanya, KPKM turut melaksanakan Projek Rintis Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun melibatkan kawasan seluas 3,000 hektar secara berperingkat bermula tahun 2024 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).


“KPKM juga memperkasa industri lembu pedaging, bertujuan biak baka menerusi Program Peningkatan Ruminan dan Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan melalui teknologi pembiakan berbantu bagi meningkatkan populasi induk pembiak berkualiti dalam negara.


"Selain itu, hasil lembu pedaging ditingkatkan melalui Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging ke arah purata kadar kelahiran nasional 60 peratus,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.


Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai kaedah kementerian memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika bencana seperti banjir dan perubahan iklim berlaku yang menjejaskan pengeluaran hasil.


Mohamad berkata, Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) juga disediakan sebagai perlindungan kepada pengusaha padi kecil yang terjejas akibat bencana dengan pampasan sehingga RM3,000 sehektar bagi kerosakan tanaman.


“Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) turut disediakan menerusi penyaluran bantuan segera bagi meringankan beban kumpulan sasar yang terkesan oleh bencana, penyakit tanaman atau serangan perosak.


“Pada tahun 2025, bantuan bencana tanaman padi sebanyak RM5.04 juta telah disalurkan kepada 2,255 pesawah melibatkan kawasan musnah seluas 3,253.4 hektar,” ujarnya.


Mohamad berkata, pelbagai langkah lain turut dibuat sebagai persediaan menghadapi bencana, termasuk membangunkan serta memperluas Sistem Amaran Awal untuk serangan perosak seperti bena perang serta pemantauan cuaca melalui kerjasama dengan Jabatan Meteorologi.


Tambah beliau, Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur juga diperkukuh bagi menghasilkan benih dan induk yang berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim melalui Program Nucleus Breeding Centre (NBC) serta Broodstock Multiplier Centre (BMC).


“Malaysia juga mengeratkan hubungan dengan negara pembekal bahan makanan utama termasuk negara ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia dan New Zealand bagi memastikan rantaian bekalan makanan kekal stabil,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page