top of page

Penyelarasan program matrikulasi kurangkan pertindihan KPM-KPT, jimatkan kos

  • nabalunews
  • Feb 25
  • 1 min read

25 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Pemindahan pengurusan program matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka mengurangkan pertindihan fungsi dan birokrasi antara kedua-dua kementerian, selain menjimatkan kos serta memperkemas birokrasi.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu akan menyatukan tadbir urus di bawah KPT, khususnya melibatkan aspek perancangan kurikulum, pentaksiran, pengurusan kemasukan serta pemantauan kualiti.


“Penyatuan tadbir urus ini membolehkan perkongsian sumber, penyelarasan sistem data dan kos operasi optimum tanpa menjejaskan kebajikan pelajar atau kualiti pengajaran dan pembelajaran.


“Ia dijangka mengurangkan pertindihan fungsi dan birokrasi, di samping menjimatkan kos operasi tanpa menjejaskan kebajikan pelajar atau kualiti pengajaran dan pembelajaran ,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Perikatan Nasional-Kuala Krai) mengenai pelan pemindahan pengurusan program matrikulasi serta jaminan bahawa penyelarasan itu tidak akan menjejaskan kuota sedia ada atau kualiti kemasukan ke universiti awam.


Jelasnya, proses pemindahan tadbir urus akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Pemandu Bersama Tingkatan edan Matrikulasi antara KPT dan KPM dengan kerjasama agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.


“Jawatankuasa ini antara lain berperanan memperhalusi langkah pemindahan tadbir urus melibatkan urusan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.


“Selain itu, KPM dan KPT juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas sewajarnya,” ujarnya.


Beliau menegaskan pemindahan pengurusan itu tidak bertujuan mengubah atau mengurangkan unjuran sedia ada, sebaliknya memastikan supaya unjuran kekal selaras keputusan kerajaan serta prinsip keterangkuman dan keseimbangan akses pendidikan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page