top of page

KPT perkukuh kerjasama serantau jadikan Malaysia destinasi pilihan pelajar antarabangsa

  • nabalunews
  • Jul 13, 2025
  • 2 min read

13 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited untuk memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dengan Indonesia, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelajar antarabangsa.


KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelbagai bidang kerjasama strategik telah dipersetujui untuk diperkukuhkan bersama Indonesia susulan lawatan kerja Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim ke negara itu selama dua hari sejak Jumaat lalu.


Katanya, ia termasuk bidang penyelidikan serta mobiliti pensyarah dan pelajar dalam bidang-bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi tenaga boleh diperbaharui, dan aeroangkasa.


“Selain itu, kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) turut menjadi fokus merangkumi kolaborasi pendidikan tinggi yang telah terjalin.


“Sehingga Disember 2024, sebanyak 464 perjanjian kolaborasi antara IPT Malaysia dan Indonesia telah dimeterai termasuk mobiliti pelajar dan pengajar untuk menjalani program pembangunan kapasiti,” menurut kenyataan itu.


Indonesia merupakan antara negara penyumbang terbesar pelajar yang melanjutkan pengajian di Malaysia, dengan seramai 11,293 pelajar direkodkan setakat Mac tahun ini.


Selain itu, inisiatif biasiswa Malaysia International Scholarship turut memberi peluang kepada pelajar Indonesia melanjutkan pengajian di IPT Malaysia, dengan 21 pelajar telah menerima manfaat setakat Disember 2024.


Dalam perkembangan berkaitan, KPT memaklumkan dua inisiatif baharu turut diperkenalkan iaitu Graduate Pass dan ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS), dalam usaha memperkukuh kerjasama pendidikan serantau.


Graduate Pass merupakan visa khas selama setahun yang ditawarkan kepada graduan antarabangsa selepas tamat pengajian, manakala ASEAN GEMS adalah platform atas talian yang menghimpunkan maklumat biasiswa dari seluruh negara ASEAN.


"KPT yakin dengan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa, berupaya meningkatkan imej negara di peringkat global.


"Dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang sejajar dengan keperluan semasa ini juga dapat membawa negara bersaing di peringkat global, selari dengan teras Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, serta keyakinan," menurut kenyataan itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page