KPWKM, JPA bincang tingkat penyertaan OKU dalam perkhidmatan awam
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

5 November 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memperkukuh pelaksanaan kuota satu peratus pengambilan pekerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) di sektor awam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran itu masih belum dicapai dan menjelaskan bahawa kuota berkenaan bukan hanya tanggungjawab kementeriannya, tetapi juga komitmen bersama kerajaan.
“Dari segi angka satu peratus itu, ia bukan hanya sasaran kami (KPWKM) sahaja, tetapi sasaran negara.
“Kita telah berbincang dengan JPA untuk mengemaskini supaya mereka (JPA) sedar bahawa kita masih belum mencapainya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Barisan Nasional-Tampin) yang ingin tahu strategi terkini KPWKM bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya satu peratus pengambilan OKU dalam sektor awam dicapai.
Dalam pada itu, Nancy berkata kementeriannya kini hampir mencapai kadar pengambilan OKU sebanyak dua peratus.
Menjawab soalan asal Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai usaha membentuk jabatan OKU bagi mengiktiraf sumbangan golongan itu dalam pembangunan negara, Nancy berkata Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) telah beroperasi sejak Mei 2009.
“Jabatan yang ditubuhan melalui Akta Orang Kurang Upaya (Akta 685) ini merupakan komitmen kerajaan dlam memastikan hak asasi golongan OKU di negara ini terbela.
“Ia juga merealisasikan hasrat kerajaan untuk mempuyai satu entiti khusus yang memberi perhatian terhadap isu yng dihadapi golongon ini, selain menawarkan perkhidmatan terus merangkumi penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, sokongan dan pembangunan kepada OKU,” katanya.














