top of page

Krisis tenaga global: Kerajaan umum jaminan pembiayaan RM5 bilion bantu PMKS

  • nabalunews
  • Apr 20
  • 2 min read

20 April 2026


PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan peruntukan jaminan pembiayaan sebanyak RM5 bilion bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat tekanan kos susulan krisis tenaga global.


Kementerian Kewangan berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebagai usaha segera memastikan kelangsungan operasi perniagaan.


Menurutnya, antara sektor yang diberikan keutamaan SJPP ialah bidang pembinaan, pertanian dan agrimakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.


“Liputan jaminan pembiayaan ditingkatkan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, selain tempoh jaminan dilanjutkan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.


"SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelas kementerian itu, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.


Selain itu, kerajaan turut mengumumkan kelonggaran pelaksanaan e-invois bagi meringankan beban pematuhan dalam kalangan PMKS menerusi tambahan tempoh peralihan selama 12 bulan.


“Tempoh peralihan tambahan ini diberikan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan dan tanpa penalti dalam tempoh berkenaan,” katanya.


Pada masa sama, kerajaan juga mempertimbangkan pengecualian duti import dan cukai jualan secara interim ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat susulan gangguan konflik.


Pengecualian tersebut berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 bagi membantu perniagaan yang terjejas akibat gangguan rantaian bekalan.


Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar berkata, setiap tindakan segera digerakkan berpandukan maklum balas secara terus daripada pemain industri bagi memastikan setiap langkah diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan negara kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan


"Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan usahawan supaya setiap langkah yang diambil membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.


"Ini bukan situasi sementara. Kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan," katanya dalam kenyataan sama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page