KSP RMK12: Kerajaan bakal kuatkuasakan peraturan hadkan pembelian 1 rumah mampu milik
12 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan bekalan rumah mampu milik mencukupi, satu peraturan akan dikuatkuasakan untuk mengehadkan pembelian hanya satu rumah mampu milik bagi setiap warganegara yang layak.
Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi, kerajaan juga akan membangunkan pangkalan data perumahan yang mengintegrasikan maklumat pemilikan dengan agensi berkaitan bagi menentukan kelayakan pemilikan.
"Di samping itu, kerjasama majlis agama negeri dan agensi berkaitan akan mempercepat pembangunan rumah mampu milik di atas tanah wakaf," katanya.
Laporan itu juga memaklumkan bahawa kerajaan akan dikuatkuasakan peraturan berkaitan dasar pemisah untuk perumahan awam dengan menyediakan garis panduan dan prosedur untuk penyewa yang melebihi kelayakan berpindah ke perumahan pilihan yang bersesuaian.
"Selain itu, tempoh moratorium 10 tahun ke atas penjualan semula rumah akan diperluas kepada semua perumahan awam. Kajian menyeluruh juga akan dijalankan bagi mengenal pasti strategi dan inisiatif untuk mengawal bekalan rumah mampu milik melalui pasaran sekunder," katanya.
Laporan itu juga menyatakan bahawa kerajaan akan membangunkan pelan tindakan perumahan negara bagi mengenal pasti keperluan sebenar perumahan dan menyediakan rumah yang bersesuaian.
Comments