- nabalunews
Kumpulan pelaksana dijangka terima kenaikan gaji paling tinggi, sehingga 42.7 peratus
7 Ogos 2024
PUTRAJAYA: Penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana dijangka menikmati kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sehingga 42.7 peratus.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, bagaimanapun menjelaskan gambaran secara umum peningkatan gaji penjawat awam itu boleh diketahui bermula minggu depan.
"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, yang akan mula diedarkan minggu depan adalah garis panduan berkait kenaikan gaji penjawat awam," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Justeru, katanya bermula minggu depan, gambaran secara umum akan diperolehi mengenai peningkatan gaji penjawat awam yang dijangka sekitar 15 hingga 42.7 peratus.
"Peningkatan ini bagi kumpulan pelaksana paling tinggi, manakala bagi kumpulan seperti KSU (Ketua Setiausaha), Ketua Pengarah, peningkatannya lebih sederhana," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Fahmi berkata, pada mesyuarat Kabinet itu, Jemaah Menteri diingatkan bahawa terdapat beberapa perkara membabitkan aspek implikasi kewangan susulan kenaikan gaji penjawat awam.
Katanya, perkara berkaitan implikasi kewangan itu bukan sekadar dibawa dalam mesyuarat Kabinet, malah menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini.
"Jadi untuk perincian terutama dari aspek jumlah yang perlu diperuntuk bagi kenaikan gaji, perincian akan boleh dilihat dalam dokumen Belanjawan 2025.
"Ini adalah usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan supaya penjawat awam dapat menikmati kenaikan gaji," katanya.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang meneruskan usaha pendaftaran syarikat yang ingin turut serta dalam program dasar gaji progresif.
Katanya, jika ada syarikat swasta yang belum berdaftar dan ingin berbuat demikian, boleh berhubung dengan KESUMA.
"Jadi kita melihat usaha kerajaan MADANI adalah untuk bukan hanya meningkatkan pendapatan gaji bagi penjawat awam, tetapi juga membantu sektor swasta melihat atau meningkatkan pendapatan dan gaji pekerja swasta," katanya.
Comments