top of page

Kuota pekerja asing dibuka bagi tiga sektor utama, 10 subsektor

  • nabalunews
  • Aug 20, 2025
  • 2 min read

20 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membuka semula pembukaan permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi tiga sektor utama dan 10 subsektor terpilih secara kes demi kes, sehingga 31 Disember depan.


Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ke-14, bilangan 2, 2025.


Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam kenyataan berkata, bagi tiga sektor utama iaitu pertanian, perladangan dan perlombongan, permohonan dibenarkan meliputi semua subsektor di bawahnya.


“Bagi sektor perkhidmatan, subsektor yang dibenarkan ialah borong runcit, gudang darat, pengawal keselamatan, barang logam dan lusuh, restoran, dobi, kargo serta pembersihan bangunan.


“Manakala bagi sektor pembinaan, permohonan hanya dibuka untuk projek-projek kerajaan, dan bagi sektor perkilangan, ia hanya dibenarkan untuk perniagaan melibatkan pelaburan baharu yang diluluskan bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida),” kata kenyataan itu.


Kesuma mengingatkan permohonan perlu dikemukakan melalui One Stop Centre (OSC) Kementerian Dalam Negeri untuk proses semakan dan kelulusan.


Dalam pada itu, katanya mesyuarat turut mengambil maklum mengenai dasar ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan keberadaan pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus daripada jumlah tenaga negara menjelang 2030.


Justeru katanya, pelaksanaan langkah ke arah mencapai sasaran had siling baharu itu akan bermula tahun depan.


“Mesyuarat juga bersetuju supaya siling sektoral pekerja asing ditetapkan mengikut keperluan sektor utama termasuk perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah, perlombongan dan kuari,” kata kenyataan itu lagi.


Kesuma dalam kenyataan berasingan memaklumkan siling sektoral ditetapkan sebanyak 2,467,756 orang hingga 31 Disember ini.


Selain itu, katanya mesyuarat turut membincangan isu berkaitan pemutihan pekerja asing, serta usaha memperkukuh mekanisme kawal selia permohonan kuota agar lebih teratur, telus dan berfokus kepada keperluan sebenar sektor kritikal.


Dalam masa sama, Kesuma juga menggesa majikan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada penggajian pekerja asing, sebaliknya memberi keutamaan kepada bakat tempatan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page