KUSKOP bangunkan produk Ikan Liking Kota Belud di bawah Program SDSI
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

17 Mei 2025
KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membangunkan produk Ikan Liking sebagai produk di bawah Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi daerah Kota Belud.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata KUSKOP telah memperuntukkan sebanyak RM55,000 bagi pembangunan produk tersebut yang diusahakan oleh 16 pengusaha tempatan.
Katanya, peruntukan itu meliputi kursus asas, kursus bimbingan serta pemantauan berterusan oleh pihak kementerian bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan usaha itu.

“KUSKOP komited membantu usahawan luar bandar membangunkan produk berpotensi tinggi agar dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada strategi memperkasakan ekonomi komuniti setempat, selaras matlamat kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan melalui keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud, di Dewan Tun Said, di sini, hari ini.

Ewon berkata, selain produk Ikan Liking, KUSKOP turut membangunkan produk Sarang Burung Walit sebagai produk SDSI yang diusahakan oleh Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Berhad (KOKUWA) dengan peruntukan sebanyak RM192,000.
Katanya, dalam masa yang sama, kementerian juga sedang mengenal pasti produk Kopi Ranau untuk dijadikan sebagai produk SDSI bagi daerah Ranau pada tahun ini.
“KUSKOP sentiasa menambah baik pelaksanaan program SDSI dan baru-baru ini, kementerian telah melancarkan Garis Panduan Program SDSI 2.0 untuk membantu usahawan SDSI menjadi lebih berdaya saing,” katanya.

Program SDSI, mula diperkenalkan pada tahun 1992 sebagai Satu Kampung Satu Produk, kini dikenali sebagai Satu Daerah Satu Industri. Ia bertujuan membangunkan ekonomi komuniti melalui penghasilan produk unik yang mencerminkan identiti setempat.
Sehingga tahun 2024, terdapat 138 usahawan SDSI berdaftar di Sabah yang terlibat secara aktif dalam pelbagai bidang industri tempatan.
Mengenai sambutan Pesta Kaamatan, Ewon berkata, penganjuran sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud adalah terjemahan kepada tema “Kaamatan Untuk Semua”.

“Ini amat penting untuk kita terus memperkukuhkan perpaduan sedia terjalin dan meningkatkan semangat toleransi dan saling hormat-menghormati, kerjasama dan kebersamaan dalam ikhtiar membangunkan negara ini.
“Saya berharap sambutan Kaamatan tahun ini membawa lebih keberkatan kepada semua rakyat Malaysia, perpaduan, keharmonian yang lebih baik, sektor ekonomi dan keusahawanan yang lebih baik, kestabilan serta kepimpinan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya,” katanya.
Ewon berkata, di peringkat KUSKOP, beliau telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP) bertujuan memberi fokus tambahan kepada keperluan pembangunan keusahawanan, koperasi dan pendidikan di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

“Ini kerana Sabah dan Sarawak mempunyai dinamik isu dan cabaran tersendiri. Oleh itu saya perkenalkan dasar ini agar dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada keperluan golongan usahawan di kedua-dua negeri ini tanpa menjejaskan fokus sedia ada Kementerian di seluruh negara,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton dan para pemimpin setempat.
Comments