KUSKOP komited perkasakan penglibatan koperasi dalam aktiviti penternakan ayam
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP komited perkasakan penglibatan koperasi dalam aktiviti penternakan ayam



23 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahwan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta gerakan koperasi komited untuk memperkasakan penglibatan koperasi dalam aktiviti penternakan ayam.


Menterinya Datuk Ewon Benedick, ini adalah sebagai usaha menangani kenaikan kos sara hidup di samping membantu menjamin bekalan makanan.


“Bagi menyokong penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan seperti ternakan ayam dan ruminan, KUSKOP melalui SKM menyediakan Pembiayaan Agromakanan sehingga RM3 juta serta bantuan geran pembangunan sehingga RM300,000 kepada koperasi-koperasi bagi mengembang atau memperluaskan projek agromakanan serta aktiviti hilirannya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam penggulungan titah Diraja Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Rakyat Parlimen ke-15, di sini, hari ini.


Ewon berkata, SKM telah mengenalpasti terdapat 21 koperasi yang terlibat dalam aktiviti penternakan ayam dan daripada jumlah itu, KUKSOP telah mengadakan sesi libat urus bersama 11 koperasi penternakan ayam pada pada Januari lalu.

Ewon ketika berucap dalam penggulungan titah Diraja Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Rakyat Parlimen ke-15 hari ini.

“Sesi ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan balas koperator yang terlibat dalam industri ternakan ayam dan seterusnya membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan peluang-peluang mengembangkan industri ternakan ayam melalui gerakan koperasi dan juga isu-isu yang berkaitan.


“KUSKOP juga sedang memperincikan kertas strategi pemerkasaan aktiviti ternakan ayam oleh gerakan koperasi untuk pembentangan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) sebagai antara usaha kementerian memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara melalui koperasi,” katanya.

Mengenai kedai koperasi iaitu COOP Mart yang menawarkan harga barangan yang lebih murah daripada harga pasaran oleh pihak koperasi, Ewon berkata, sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 2,581 Coopmart ditubuhkan di seluruh negara.


“Melalui rangkaian Coopmart ini, gerakan koperasi dapat menawarkan barangan keperluan kepada rakyat pada harga berpatutan di mana terdapat bekalan diperoleh secara terus daripada pengeluar seperti ayam dan sayuran.


“Bagi tahun 2021-2022, rangkaian Coopmart juga telah terlibat dengan penganjuran Jualan Koperasi Prihatin Rakyat, Jualan Harga Patut Koperasi, Jualan Murah Keluarga Malaysia dan Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa dengan penjimatan harga di antara 15-20% daripada harga pasaran dengan nilai penjimatan harga mencecah RM9.28 juta,” katanya.

Beliau berkata, bemula Mac 2023, SKM melalui rangkaian Coopmart di daerah akan melaksanakan inisiatif jualan murah koperasi yang menawarkan insentif harga barangan keperluan asas harian sehingga 20% lebih murah daripada harga pasaran.



bottom of page