KUSKOP salur lebih RM12 juta pembiayaan kepada usahawan dan koperasi di Perlis
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP salur lebih RM12 juta pembiayaan kepada usahawan dan koperasi di Perlis

Ewon menyampaikan cek pembiayaan daripada agensi Kuskop disaksikan oleh Raja Muda Perlis.

24 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


ARAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya menyalurkan sejumlah RM12,433,960 kepada usahawan dan koperasi di Perlis yang layak.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan pembangunan dan pembiayaan itu disalurkan oleh TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp Malaysia, SME Bank dan Bank Rakyat.


“Saya amat yakin ini dapat melengkapkan usaha kerajaan dalam membantu membangunkan para usahawan dan koperasi di seluruh negara.


Sempena karnival ini, kita juga telah membuka ruang reruai daripada agensi-agensi kementerian dan jualan usahawan usahawan dari Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI KUSKOP 2024 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat, di sini, hari ini.


Karnival selama tiga hari bermula 23 Februari itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.


Turut berangkat Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad, Exco-Exco Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kanan KUSKOP.

Ewon berkata, sepanjang karnival itu Jualan Koperasu Madani turut diadakan yang menawarkan harga diskaun sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga sedia ada di pasaran.


“Ini merupakan inisiatif kementerian dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk meringankan bebanan rakyat berkaitan kenaikan kos sara hidup

Kementerian telah mengadakan Jualan Koperasi Madani di seluruh negara,” katanya.


Selepas perasmian karnival turut diadakan sesi libat urus dengan komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi Perlis yang datang berkunjung ke karnival ini.


Ewon berkata, beberapa persoalan telah dikemukakan dan diberi maklum balas termasuk daripada agensi-agensi Kementerian.

“Saya juga mengalu-alukan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sepanjang sesi ini.


Sebanyak 49 tapak jualan usahawan, koperasi dan Agro MADANI yang menawarkan jualan pelbagai produk dan perkhidmatan dibuka sepanjang karnival itu.


Selain itu, 6 food truck dan 12 khemah peniaga FAMA yang menjual aneka makanan dan minuman juga disediakan.


Kesemua usahawan dan koperasi yang terlibat adalah daripada Perlis iaitu di bawah seliaan agensi-agensi keusahawanan peringkat persekutuan dan Kerajaan Negeri.

 

Turut disediakan 18 reruai pameran daripada agensi di bawah KUSKOP, agensi persekutuan dan agensi Kerajaan Negeri Perlis yang menyediakan pelbagai maklumat dan perkhidmatan termasuk kaunter bayaran saman oleh PDRM, kaunter pemeriksaan kesihatan oleh KKM dan kaunter pemeriksaan motosikal oleh JPJ.


bottom of page