top of page

KUSKOP sedang laksana libat urus cadangan pindaan Akta Koperasi, yakin gerakan koperasi capai sasaran DaKoM 2030

Wartawan Nabalu News

26 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang melaksanakan sesi libat urus mengenai cadangan pindaan Akta Koperasi bagi memastikan gerakan koperasi di negara ini terus relevan dan menjadi antara tunjang kemajuan ekonomi negara.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pindaan Akta Koperasi itu sesuai dengan peredaran masa, cabaran dan dinamik yang ada pada hari ini.


“Sememangya, ketika ini KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang mengadakan sesi libat urus untuk meminda Akta Koperasi sesuai dengan cabaran yang ada pada hari ini.


“Mudah-mudahan kita dapat membentangkan pindaan akta ini ke Parlimen mengikut jadual yang kita sasarkan iaitu pada tahun 2025,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.


Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Kongres Koperasi Kebangsaan (KKK) 2024 mengetengahkan lapan resolusi sebagai agenda pemerkasaan koperasi negara dalam persaingan ekonomi yang semakin mencabar.


Antara resolusi yang diketengahkan adalah sektor koperasi hendaklah diiktiraf sebagai sektor utama penyumbang kepada ekonomi negara seterusnya menjadi pemangkin kepada kerangka Ekonomi MADANI.


Kongres ini juga mahu undang-undang dan peraturan dipinda bagi mengiktiraf koperasi sebagai entiti perniagaan.


Ewon yakin resolusi yang dibincang, dimuktamad dan diserahkan kepada KUSKOP dapat membuka lembaran baharu gerakan koperasi di negara ini.


“Di peringkat KUSKOP, terkait satu resolusi dalam kongres ini, untuk meneliti semula akta berkaitan koperasi terutama menjadikan koperasi ini sebagai entiti perniagaan, kementerian kita sedang mengadakan sesi libat urus mengenai perkara ini.


“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian lain untuk mengangkat gerakan koperasi supaya sama-sama menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, KUSKOP komited mengambil langkah konkrit menilai dan melaksanakan setiap cadangan serta keperluan yang dibangkitkan dalam kongres ini.


“Setiap resolusi akan diselaraskan dengan matlamat untuk memperkukuhkan peranan koperasi sebagai salah satu enjin utama dalam pembangunan ekonomi negara.

 

“Dalam hal ini, Kementerian melihat koperasi perlu menggarap peluang dan cabang perniagaan baharu yang wujud terutamanya dalam sektor inisiatif pertumbuhan dan nilai tinggi.


“Koperasi perlu menjadi perintis dalam sektor teknologi baharu dengan mengambil pendekatan berkolaborasi dengan pihak swasta dan pemain industri untuk manfaat gerakan,” katanya.


Terdahulu ketika berucap, Ewon yakin gerakan koperasi dapat mencapai sasaran seperti yang ditetapkan dalam Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030.


“Melihat kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif pada kadar 5.0%, kita yakin sasaran sumbangan perolehan koperasi sebanyak RM73 bilion dalam DaKoM 2030 dapat dicapai dengan lebih awal,” katanya.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad dan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Komentar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page