KUSKOP sokong tindakan tegas bendung salah guna visa sosial
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 1 min read

15 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah tegas kerajaan membendung penyalahgunaan visa lawatan sosial bagi tujuan bekerja dan berniaga secara tidak sah.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri berikutan aduan daripada peniaga tempatan yang terjejas.
“Kerajaan telah mengarahkan agensi berkaitan mempergiatkan penguatkuasaan termasuk memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti bekerja dan berniaga tanpa kebenaran sah.
“KUSKOP akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri serta agensi penguatkuasaan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Sim, langkah tersebut adalah penting untuk melindungi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan peniaga kecil tempatan.
Selain itu, katanya ia juga bagi memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing.
Tambah beliau, Malaysia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur asing, namun semua pihak wajib mematuhi undang-undang serta peraturan negara tanpa pengecualian.














