KWSP catat pendapatan pelaburan RM63.99 bilion untuk sembilan bulan pertama 2025
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

17 November 2025
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2025 (9M 2025), meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku ketiga 2025 pula, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan berjumlah RM25.07 bilion, naik 27 peratus berbanding RM19.67 bilion yang dicatatkan pada suku ketiga 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata pencapaian ini didorong oleh pelaksanaan strategi alokasi aset yang berkesan, membolehkan KWSP memanfaatkan pemulihan pasaran ekuiti selepas peristiwa “Liberation Day”.
“KWSP kekal yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia, yang mewakili 61 peratus daripada portfolio pelaburan kami.
"Pada masa sama, strategi pelaburan global turut menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, meskipun prestasi sembilan bulan pertama memberangsangkan, KWSP kekal berwaspada memasuki suku keempat.
Menurutnya, pertumbuhan dalam pasaran ekuiti global telah meningkatkan penilaian, manakala petunjuk ekonomi global yang tidak sekata boleh memperlahankan kadar penurunan kadar faedah.
“KWSP menguruskan risiko-risiko ini secara aktif dengan mempercepatkan pengambilan keuntungan pada kadar yang mungkin sukar dilaksanakan pada suku keempat,” tambah beliau.
Sepanjang suku ketiga, ekuiti kekal sebagai penyumbang utama dengan RM16.95 bilion atau 68 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Instrumen pendapatan tetap menyumbang RM6.75 bilion (27 peratus), hartanah dan infrastruktur RM1.14 bilion (empat peratus), manakala instrumen pasaran wang menyumbang RM230 juta (satu peratus).
Daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan suku ketiga, RM20.48 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM4.59 bilion untuk Simpanan Shariah.
Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sepanjang suku tersebut, pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion, iaitu 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan.


















Comments