top of page

KWSP umum dividen 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional, Shariah

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

28 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun 2025.


Pengagihan dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 itu membabitkan agihan sebanyak RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan RM79.6 bilion.


Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.


Manakala aset pelaburan meningkat kepada RM1,409 bilion, naik 12.8 peratus daripada RM1,250 bilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.


“KWSP telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2025 walaupun berdepan persekitaran yang tidak menentu berikutan dasar perdagangan yang sukar diramal.


“Pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong oleh pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Zuki berkata, pencapaian tersebut mencerminkan pendekatan jangka panjang KWSP dalam melindungi simpanan ahli bagi memastikan pulangan yang mampan.


Menurutnya, walaupun berdepan tekanan tarif dan perkembangan geopolitik, ekonomi global kekal kukuh pada 2025 dan inflasi yang semakin terkawal membolehkan bank-bank pusat utama melonggarkan dasar monetari, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk pelabur jangka panjang.


Tambah beliau, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan eksport berdaya tahan.


Sementara itu, reformasi fiskal, reformasi struktural dan pelaksanaan inisiatif strategik nasional terus memperkukuh aktiviti pelaburan serta keyakinan perniagaan, manakala pelarasan kadar dasar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 2.75 peratus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.


“Portfolio pelaburan kami yang pelbagai merangkumi kelas aset dan pasaran, dipandu oleh Alokasi Aset Strategik, membolehkan kami menghadapi turun naik pasaran yang memuncak pada suku kedua selepas pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat.


“Walaupun kitaran pasaran boleh membawa ketidaktentuan jangka pendek, pengurusan risiko yang berdisiplin dengan strategi pelaburan jangka panjang terus menjadi teras dalam mengekalkan daya tahan dan menjana pulangan yang konsisten untuk ahli,” katanya.


Pengkreditan dividen bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah dijadualkan selesai pada 1 Mac 2026.


Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page