LABUAN SEDIA PELAKSANAAN PKP 2.0 BERMULA TENGAH MALAM INI
12 JAN 2021
LABUAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan telah bersedia sepenuhnya untuk penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan sekurang-kurangnya dua sekatan jalan raya (SJR) akan diadakan di jalan utama menuju pusat bandar, mulai tengah malam ini.
Pengerusinya, Rithuan Ismail berkata seramai 63 anggota polis dan 12 anggota tentera akan bertugas selama 24 jam di Jalan Tun Mustapha dan Jalan Patau-Patau.
Beliau berkata sejumlah anggota polis juga ditugaskan di dua terminal feri dan Lapangan Terbang Labuan untuk mengawal aliran masuk dan keluar pelancong melalui tiga pintu masuk Labuan itu dan hanya mereka yang diperakui terlibat dalam perkhidmatan penting dibenarkan untuk memasuki kawasan tersebut.
"Kami akan menguatkuasakan perintah larangan pergerakan yang ketat selaras dengan usaha kerajaan untuk membendung penularan pandemik COVID-19 yang membimbangkan di seluruh negara.
"Dua SJR akan diadakan untuk menyekat pergerakan orang ramai dan hanya mereka yang terlibat dalam lima sektor perkhidmatan penting dan dalam hal kecemasan sahaja dibenarkan melepasi sekatan jalan tersebut," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
"Kami juga akan mendapatkan bantuan yang diperlukan seperti bekalan bakul makanan untuk rakyat yang terjejas akibat PKP dan akan sentiasa berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan PKP akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk disesuaikan dengan keadaan ekonomi Labuan.
“Kami difahamkan, SOP untuk fasa PKP kali ini adalah sedikit longgar dengan kedai makan dibenarkan beroperasi untuk menjual makanan bungkus dan dua orang sahaja yang dibenarkan berada di dalam sesebuah kenderaan,” katanya.
Rithuan berkata pengunjung dari perkhidmatan penting dari mana-mana kawasan lain di negara ini yang hendak mengunjungi Labuan masih perlu menjalani ujian calitan COVID-19.
"Tidak akan ada perjalanan rentas negeri (Labuan-Sabah-Labuan) dibenarkan dalam tempoh 14 hari PKP, tidak dibenarkan juga aktiviti sosial yang melibatkan perhimpunan besar-besaran seperti perkahwinan, persidangan, perarakan keagamaan seperti Thaipusam yang akan datang, perjumpaan, seminar, kursus dan sukan berkumpulan aktiviti,” katanya.
Kerajaan semalam mengumumkan PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk tempoh dua minggu bermula esok. - Bernama
Comments