Lawatan PM ke China tingkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lawatan PM ke China tingkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang


29 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menjalani lawatan rasmi ke China selama empat hari bermula hari ini.


Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan China.


Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pertama dari Asia Timur yang melawat China sejak beliau memimpin Kerajaan Perpaduan. Beliau juga antara pemimpin terawal yang bertemu dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri China Li Qiang yang baru dilantik.


Lawatan ini juga menandakan sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan ulang tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China.


"Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan China.


“Pada masa yang sama, lawatan rasmi Perdana Menteri adalah bagi menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini," kata Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu sidang media.


Jelas Zambry, Anwar Ibrahim akan menghadiri beberapa program penting semasa lawatan ini, antaranya menyampaikan ucapan di Universiti Tsinghua, mengadakan perbincangan dengan Xi Jinping dan Li Qiang, serta menghadiri Forum Perniagaan bersama pelabur-pelabur dan tokoh-tokoh korporat China.


"Perbincangan akan tertumpu kepada langkah-langkah baharu yang boleh diambil di dalam pelbagai bidang untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala, terutamanya dalam konteks sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan sambutan ulang tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China,” katanya lagi.


Beliau juga akan berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di China dan komuniti Islam di sana.


China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009. Nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun 2022 mencapai RM487.13 bilion dengan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.


China juga merupakan sumber pelaburan penting bagi Malaysia dengan nilai pelaburan sebanyak RM9.6 bilion pada tahun 2022 yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 6,000 orang.


Lawatan rasmi Anwar Ibrahim ke China menunjukkan komitmen kuat dan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, politik, pencegahan rasuah dan ketamadunan.

bottom of page