top of page
nabalunews

Lawatan Korea Selatan: PM Anwar bakal tarik pelaburan baharu, temui syarikat gergasi Korea Selatan




24 November 2024

 

SEOUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan lawatan rasmi sulung ke Korea Selatan dengan merancang siri pertemuan strategik bersama syarikat gergasi korporat Korea Selatan, Chaebol, bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

 

Lawatan ini juga bertujuan memperkukuhkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara. 

 

Menurut Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid, pertemuan ini dijangka membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta memperkukuh hubungan dua hala. 

 

“Sehingga Oktober 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan Korea Selatan mencatat RM91.1 bilion, dengan eksport Malaysia berjumlah RM43.95 bilion dan import RM47.1 bilion,” katanya dalam sidang media bersama media Malaysia di Seoul. 

 

Korea Selatan kini merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia, manakala Malaysia menjadi rakan dagang ke-11 terbesar Korea Selatan dengan jumlah pelaburan RM61 bilion melibatkan 616 projek. 

 

Anwar dijangka tiba di Korea Selatan pada malam ini dan dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden Yongsan esok. Pertemuan ini akan menumpukan pada isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. 

 

Sebagai sebahagian daripada jadual, Perdana Menteri akan memberi ucapan dalam Forum Perniagaan yang bakal dihadiri lebih 180 syarikat dari Korea Selatan.

 

Anwar juga dijadualkan bertemu Presiden Korea Muslim Federation (KMF) untuk membincangkan usaha memperkukuh hubungan komuniti Islam antara kedua-dua negara. 

 

 

Comments


bottom of page