Lawatan PM Anwar ke Qatar berjaya jana potensi eksport barangan, perkhidmatan bernilai RM700 juta
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lawatan PM Anwar ke Qatar berjaya jana potensi eksport barangan, perkhidmatan bernilai RM700 juta


14 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


DOHA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjana potensi eksport barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM700 juta semasa lawatan ringkas ke Qatar.


Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengesahkan komitmen eksport ini diterima daripada pelbagai pemimpin utama industri Qatar semasa mesyuarat meja bulat perniagaan bersama Perdana Menteri.


“Alhamdulillah, kita terima komitmen (eksport) berjumlah RM700 juta. Ia sekali gus menunjukkan keyakinan syarikat Qatar terhadap produk dan perkhidmatan kita,” kata Tengku Zafrul kepada pemberita selepas majlis jamuan makan malam Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia, di sini, pada Isnin, lapor Bernama.


Selain itu, Tengku Zafrul turut berkongsi mengenai potensi Asia Barat sebagai satu pasaran besar bagi Malaysia yang perlu diteroka.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan daya tarikan Malaysia dengan sistem infrastruktur yang kukuh, kedaulatan undang-undang, tenaga kerja mahir, serta ekosistem perniagaan yang rancak.


Malaysia dianggap destinasi menarik bagi pelabur yang berhasrat menjadikan negara ini sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan strategik mereka untuk meraih peluang pertumbuhan baharu dan kepelbagaian.


Mesyuarat meja bulat ini turut dihadiri oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir. Perbincangan ini menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Qatar untuk meneroka ruang baharu kerjasama, dengan memanfaatkan sinergi antara kedua-dua ekonomi.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page