top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lawatan PM ke Arab Saudi: KLN bidas dakwaan negatif


28 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri (KLN) membidas dakwaan negatif pihak tertentu yang mendakwa Lawatan Rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Arab Saudi pada 22 - 24 Mac lalu tidak mendapat pengesahan rasmi atau tidak disambut baik oleh Kerajaan Arab Saudi.


Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, KLN menyatakan bahawa isu yang dibangkitkan lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar.


Menurut kenyataan itu, persiapan-persiapan awal telah dijalankan bagi lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi meliputi beberapa siri perbincangan antara KLN dan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, termasuk pertemuan dan perbincangan dengan Duta Besar Arab Saudi di KLN setelah mendapat cadangan tarikh lawatan.


“Selain itu, Menteri Luar Negeri Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Arab Saudi semasa lawatan beliau ke Riyadh pada 19 – 22 Februari lalu.


“Perbincangan dengan rakan sejawatannya secara spesifik tentang lawatan Perdana Menteri dan kesesuaian tarikh-tarikh serta perancangan hasil (expected deliverables) lawatan.


“Lawatan Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih kukuh dan komprehensif,” kata kenyataan itu.


Dalam konteks ini, Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Islam termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL) dan Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB).


“Semasa di IsDB, Perdana Menteri turut menyampaikan ucaptama dalam satu majlis yang dihadiri seramai lebih 300 orang tetamu termasuk Presiden pertama IsDB serta tokoh-tokoh ilmuan dan pakar-pakar ekonomi dan kewangan.


“Perdana Menteri turut mengadakan sesi meja bulat perniagaan bersama 20 ahli perniagaan terkemuka Arab Saudi serta wakil-wakil komuniti perniagaan Malaysia. Semasa sesi tersebut, Perdana Menteri telah menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman / kerjasama di antara syarikat-syarikat Malaysia dan Arab Saudi,” kata kenyataan itu.


Secara keseluruhannya, program-program Lawatan Rasmi Perdana Menteri berjalan dengan lancar.


Dalam pada itu, KLN menegaskan bahawa lawatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memartabatkan diplomasi Malaysia dan menganggap Kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik.


Oleh itu, KLN menegaskan bahawa polemik serta tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usaha KLN memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa.

bottom of page