top of page

Lebih 97 peratus kenderaan perdagangan belum sahkan pemasangan SLD

  • nabalunews
  • Sep 25
  • 2 min read

ree

25 September 2025


PUTRAJAYA: Sebanyak 105,890 atau 97.32 peratus kenderaan perdagangan termasuk bas persiaran dan ekspres masih belum membuat pengesahan pemasangan Peranti Had Kelajuan (SLD) setakat ini.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, jumlah itu melibatkan 2,528 bas ekspres, 6,241 bas persiaran dan 100,036 lori barangan dengan berat melebihi 3,500 kilogram.


“Penguatkuasaan pemasangan dan penggunaan SLD akan bermula secara rasmi pada 1 Oktober ini, membabitkan kenderaan yang dibina selepas 1 Januari 2015.


“Daripada keseluruhan 108,805 kenderaan yang diwajibkan ada SLD, setakat 23 September hanya 2,915 kenderaan atau kurang tiga peratus yang telah disahkan,” katanya dalam satu kenyataan.


Loke menegaskan, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dengan pemilik kenderaan yang tidak mematuhi peraturan itu selepas tarikh penguatkuasaan dikuatkuasakan sepenuhnya.


Menurutnya, Notis 114 (Notis Panggilan Temu Siasat) akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini.


Dalam pada itu, Loke berkata, semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD perlu disahkan pihak yang diiktiraf JPJ melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.


“Slip berkenaan perlu dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) atau semasa urusan pembaharuan permit dengan Agensi Pengangkutan Awam (APAD) atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).


“Ia perlu sentiasa disimpan di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan. Pengesahan ini juga perlu diperbaharui setiap dua tahun bagi memastikan SLD berfungsi dengan baik,” jelasnya.


Loke berkata, semua pihak yang terlibat dalam pengesahan diwajibkan mengemas kini maklumat pengesahan pemasangan SLD bagi setiap kenderaan secara mingguan melalui sistem dalam talian JPJ.


“Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian yang sah hendaklah dimuat naik sebagai bukti untuk tujuan semakan serta pemantauan pematuhan oleh JPJ," katanya.


Loke sebelum ini memaklumkan, penguatkuasaan itu melibatkan kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 2015, termasuk bas Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) dan kapasiti lebih lapan penumpang, serta kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500kg.


SLD ialah peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page