top of page

Lebuhraya Pan Borneo: Jajaran Kota Kinabalu-Kudat Siap Suku Ketiga 2028

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

ree

27 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dari Kota Kinabalu ke Kudat dijadualkan siap secara berperingkat selewat-lewatnya suku ketiga 2028.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jajaran berkenaan merangkumi pembinaan jalan pesisiran pantai melibatkan lapan pakej kerja iaitu Pakej 7 hingga Pakej 14, dengan kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan.


“Secara keseluruhan projek LPB Sabah sepanjang 706 kilometer dibahagikan kepada 35 pakej kerja, dan setakat ini empat daripadanya telah siap dan dibuka kepada pengguna.


“Bagi jajaran Kota Kinabalu ke Kudat, status kemajuan berbeza mengikut pakej. Pelaksanaan projek ini dipantau rapi secara berterusan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selaku agensi pelaksana,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) mengenai status terkini pembangunan LPB Kota Kinabalu-Kudat serta jangkaan projek tersebut siap sepenuhnya.


Nanta berkata, antara pakej yang hampir siap ialah Pakej 10 iaitu Pituru ke Rampayan Laut dengan kemajuan 97.11 peratus yang dijangka siap 14 Nov 2025, serta Pakej 8 Sepanggar-Bulatan Berungis (84.24 peratus) yang dijadual siap pada 10 Dis tahun ini.


Sementara itu, Pakej 7 iaitu Inanam ke Sepanggar merekodkan status kemajuan 87.91 peratus dan dijangka siap pada 2 Nov 2026.


“Antara pakej yang dijangka siap menjelang 2028 ialah Pakej 13 Temuno ke Bingolon dengan kemajuan 11.46 peratus yang dijangka siap pada 20 Feb 2028, selain Pakej 14 Bingolon-Simpang Mengayau (17.84 peratus) yang dijadual siap pada 30 Sep 2027,” katanya.


Nanta turut menegaskan projek LPB Sabah adalah projek berimpak tinggi dan menjadi keutamaan Kementerian Kerja Raya (KKR).


Justeru katanya, KKR komited untuk memastikan projek tersebut disiapkan mengikut jadual bagi menambah baik jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah.


Menjawab soalan tambahan Verdon mengenai sama ada kerajaan berhasrat menghubungkan penghujung LPB di Simpang Mengayau ke bandar Kudat, Nanta menjelaskan KKR setakat ini tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan cadangan tersebut.


“Fokus kementerian ketika ini adalah untuk memastikan projek LPB Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B sepanjang 706km dapat disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.


“Cadangan yang dibangkitkan akan diteliti pada masa akan datang sekiranya dipohon kerajaan negeri serta dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri, kemudiannya dinilai agensi pusat berdasarkan keperluan semasa dan kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page