Lelaki cedera dipukul mug kaca
- nabalunews
- Jun 19, 2025
- 1 min read

19 Jun 2025
TAWAU: Seorang lelaki mengalami kecederaan di kepala selepas tiba-tiba dipukul menggunakan mug kaca ketika sedang minum bersama rakannya di sebuah kafe di kawasan Kubota, semalam.
Mangsa dipercayai diserang oleh individu tidak dikenali yang datang dari arah belakang sebelum memukul mangsa hingga cedera dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil tindakan pantas pihaknya, suspek kes itu, 45, berjaya diberkas di kawasan Jalan St Patrick, susulan laporan polis dibuat mangsa.
"Suspek yang merupakan warga tempatan ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau,"katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Dalam pada itu, Jasmin berkata, polis tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas sehingga mengancam keselamatan orang lain dan tindakan undang-undang akan diambil.















Comments