top of page

Lelaki mabuk cederakan rakan dalam pergaduhan ditahan polis

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 1 min read

Mangsa yang cedera hingga terkeluar usus perut terbaring atas laluan pejalan kaki selepas kejadian.
Mangsa yang cedera hingga terkeluar usus perut terbaring atas laluan pejalan kaki selepas kejadian.

30 Jun 2025


TAWAU: Seorang lelaki mabuk ditahan selepas disyaki mencederakan rakannya dengan senjata tajam dalam pergaduhan di hadapan Pasar Raya Rastamas, petang semalam.


Dalam insiden itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar bersama suspek, mengalami kecederaan, termasuk terkeluar usus perut dipercayai terkena senjata tajam yang digunakan.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis menerima maklumat melalui panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang mengenai satu pergaduhan melibatkan penggunaan senjata tajam.


"Susulan itu, polis berjaya memberkas suspek berusia 37 tahun di lokasi kejadian pada jam 5 petang, hari yang sama serta merampas senjata yang disyaki digunakan dalam pergaduhan,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Tambahnya, pemeriksaan awal juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia.


Jasmin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada mabuk sehingga membawa kepada cabar-mencabar dan akhirnya bergaduh melibatkan senjata tajam.


Katanya, kedua-dua lelaki itu saling mengenali kerana mereka bersama-sama bekerja sebagai buruh kasar.


Menurutnya lagi, suspek ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.


Ketika ini, katanya, siasatan kes sedang dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page