top of page

Program GEAR-Up: RM11 bilion disalurkan ke sektor bernilai tinggi

  • nabalunews
  • Jun 30
  • 2 min read

30 Jun 2025


PUTRAJAYA: Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) telah menyaksikan pelaburan RM11 bilion disalurkan ke dalam sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) setakat 30 Jun tahun ini.


Ia termasuk sektor semikonduktor dan peralihan tenaga, serta inisiatif untuk memperkasa komuniti terpinggir dan pembangunan bakat tempatan.


MOF berkata, setakat ini telah mengenal pasti pelaburan langsung domestik sebanyak RM22 bilion atau 88 peratus daripada RM25 bilion daripada enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) Utama yang menerajui program itu.


“GEAR-uP yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu juga telah memperoleh komitmen daripada 34 GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan gaji wajar minimum bulanan sebanyak RM3,100 untuk 153,000 pekerja.


“Ia sekali gus memenuhi janji untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menerajui agenda nasional bagi reformasi gaji,” menurut kementerian itu.


Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebijakan program GEAR-uP terletak kepada keupayaannya menggerakkan GLIC untuk menyahut seruan mandat baharu bagi pembangunan negara.


“Beginilah caranya kita memanfaatkan kekayaan institusi negara, iaitu dengan menyalurkannya untuk memperkasa masyarakat serta membina ekosistem industri bernilai tinggi.


“Sesebuah negara hanya boleh diangkat martabatnya apabila semua rakyatnya bangkit bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.


GEAR-uP menyasarkan penggerakan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun bagi memacu reformasi sosioekonomi serta menggerakkan transformasi perindustrian negara.


Program itu diterajui oleh enam GLIC utama iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).


Sejak dilancarkan, enam GLIC utama tersebut telah melabur lebih RM800 juta ke dalam ekosistem semikonduktor negara, memulakan pembangunan hab industri hijau dan pintar seluas 3,000 ekar di Kerian dan Pulau Carey, dan menyokong lebih 50 syarikat dan dana tempatan melalui modal teroka dan ekuiti swasta.


Selain itu, lebih RM200 juta disalurkan dalam bentuk biasiswa dan program pembangunan bakat, termasuk penempatan pekerjaan kepada lebih 8,000 belia B40 serta pelaburan komuniti sosial yang memberi manfaat kepada lebih 700,000 rakyat Malaysia.


Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata GEAR-uP bukan sekadar penyaluran modal tetapi satu penjajaran strategik untuk merealisasikan transformasi ekonomi secara inklusif dan mampan.


“Kami membuka peluang bernilai RM120 bilion untuk memajukan industri masa hadapan dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan dan bina upaya serta merealisasikan kemakmuran yang dikongsi bersama. Inilah cara kami menterjemahkan transformasi ekonomi kepada hasil yang nyata,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page