top of page
nabalunews

LHDN STRUKTUR SEMULA PERKHIDMATAN KAUNTER PUSAT BAYARAN MULAI 1 APRIL


9 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melakukan penstrukturan semula perkhidmatan kaunter pusat bayaran di Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, bermula 1 April depan.


LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan penstrukturan semula itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan medium bayaran secara dalam talian (e-bayaran) dan kecekapan proses pemungutan cukai.


“Mulai 1 April, kaunter perkhidmatan di semua pusat bayaran LHDN hanya menerima bayaran seperti cukai keuntungan harta tanah (CKHT), cukai pendapatan penghibur awam (Seniman Kembara), cukai pegangan, bayaran kompaun dan bayaran cukai pendapatan menggunakan kad kredit atau kad debit,” menurut kenyataan itu.

LHDN berkata lain-lain bayaran akan dihentikan penerimaannya di kaunter dan boleh dibuat antaranya menerusi MyTax di portal rasmi LHDN www.hasil.gov.my melalui perkhidmatan ezHasil - ByrHASiL.


Selain itu, bayaran juga boleh dibuat menerusi portal perbankan Internet bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan LHDN, kaunter Pos Malaysia dan bank komersial, mesin deposit tunai/cek bank serta mesin juruwang automatik (ATM).


Menurut LHDN, bagi melakukan pembayaran menerusi Pos Malaysia, bank dan medium e-bayaran, pengguna memerlukan maklumat seperti nombor rujukan fail cukai pendapatan pembayar cukai, nama dan nombor kad pengenalan, tahun taksiran dan bilangan ansuran, kod bayaran cukai (boleh disemak di portal rasmi LHDN) serta amaun bayaran.


“Slip pengesahan bayaran cukai di Pos Malaysia dan bank atau slip pengesahan transaksi yang sah diterima oleh LHDN sebagai bukti bayaran atau resit pembayaran," menurut kenyataan itu. - Bernama


Comments


bottom of page