Liga Super: Sabah perlu pertajam jentera serangan
- nabalunews
- Jul 27, 2024
- 1 min read

27 Julai 2024
KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memberikan bayangan The Rhinos perlu menambah pemain posisi penyerang pada jendela perpindahan kedua musim ini bagi memantapkan lagi jentera serangan Sabah.
“Kita kehilangan Ramon Machado de Macedo pada masa sama terpaksa melupakan sementara khidmat Saddil Ramdani dan Darren Lok yang mengalami kecederaan.
"Sejujurnya, situasi ini sedikit sebanyak akan memberikan kesan terhadap bahagian penyudah Sabah kerana masih banyak perlawanan yang perlu diharungi selepas ini.
“Saya berharap kita mampu melakukan sesuatu bagi mendapatkan penyerang berkualiti untuk mempertajamkan bahagian serangan pada jendela perpindahan pemain nanti,” katanya selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas pada Khamis.
Sabah sebelum itu mengakhiri kemarau kemenangan saingan Liga Malaysia apabila menjinakkan Negeri Sembilan 2-0 dalam perlawanan di Likas.
Daniel Ting menjaringkan gol pembukaan minit ke-14 sebelum Jafri Firdaus Chew menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-81 selepas pasukan pelawat terpaksa bermain 10 pemain setelah kehilangan khidmat Norfiqrie Talib yang dilayangkan kad merah minit ke-64.
Tiga mata diraih anak buah Kim Swee itu membolehkan kelab Kepulauan Borneo itu memperbaiki kedudukan Liga Super dengan mengumpul 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan.
Mengenai perlawanan berdepan Negeri Sembilan kendalian Kim Swee berkata: “Keputusan yang kita kehendaki selepas tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.
“Paling penting, bahagian pertahanan kita lebih berdisiplin apabila tidak bolos.
"Biarpun begitu, kita tidak boleh terlalu selesa kerana masih terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki pasukan," katanya.


















Comments