Lima keluarga terima kunci Rumah Mesra Rakyat di Kapayan
- nabalunews
- Jun 18
- 1 min read

18 Jun 2025
PENAMPANG: Sebanyak lima keluarga menerima kunci rumah baharu manakala lima lagi menerima surat tawaran pembinaan rumah menerusi program Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2025 di Kampung Kapayan, di sini, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, program RMR merupakan antara inisiatif kerajaan menyediakan kediaman selesa dan mampu milik kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Setakat ini, sebanyak 71,847 unit RMR telah dibina di seluruh negara termasuk 2,556 unit di Sabah dan daripada jumlah itu, 343 unit adalah di daerah Penampang,” katanya dalam kenyataan selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran itu.
Jannie berkata, sebagai wakil rakyat, tugas bukan hanya menyuarakan isu di Dewan Undangan Negeri (DUN) malah untuk memastikan pelaksanaan dasar kerajaan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, di DUN Kapayan, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat akses kepada kediaman yang selesa dan selamat.
“Antara inisiatif yang dijalankan termasuk membaik pulih 30 rumah melalui peruntukan ADUN serta perancangan pembinaan 40 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada tahun ini.
“Saya akan terus berusaha memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada program-program perumahan seperti ini.
Inisiatif RMR dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak memiliki rumah sendiri atau tinggal di kediaman usang, tetapi mempunyai tanah untuk pembinaan rumah.
Comments